Jumaat, April 10, 2009

Rais Yatim rancang wujud segmen 'Bina Negara'

TERKINI : BERITA HARIAN; 10 APRIL 2009 ; 07:31 P.M

PETALING JAYA:
Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim merancang memperkukuhkan dasar 'Satu Malaysia' dengan mewujudkan segmen 'membina negara' di dalam setiap program media cetak dan media elektronik.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan semua media tidak hanya tertumpu kepada hiburan bagi menambah sumber pendapatan, tetapi turut mengetengahkan maklumat yang sihat kepada masyarakat.

"Kita tekankan perlumbaan program (televisyen), misalnya tanggungjawab terhadap negara dan bangsa mesti terselit di dalamnya.

"Ini bukan memaksa tetapi memberi satu ramuan baru ke arah Satu Malaysia seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak)," katanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang di sini, petang ini.

Rais, bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri yang berlepas ke Pattaya, Thailand untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-14 selama tiga hari bermula hari ini.

Ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan membina negara, Rais berkata, perkara itu tidak harus dihuraikan buat masa ini tetapi secara amnya ia adalah sebarang usaha yang boleh memperkukuh negara dan mempopularkan bangsa Malaysia.

"Misalnya hormat terhadap sistem perundangan kita, memperjuangkan hak kaum yang sudah ada dalam perlembagaan dan memberi semangat kepada kerajinan," katanya.



Tiada ulasan:

 
Elegant de BlogMundi